Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (Tulisan Jawi: محضير بن
محمد, dilahirkan pada 10 Julai 1925). Beliau yang cukup dikenali dengan
"Dr. M" merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat.
Menggunakan nama timangannya sendiri, "Che Det" sebagai nama pena,
beliau banyak menulis dengan artikel pertamanya disiarkan oleh akhbar The Straits Times Singapura pada 20
Julai, 1947 bertajuk “Malay Women Make Their Own Freedom” (Wanita
Melayu Mencipta Kebebasan Sendiri). Ketika penggal kepimpinannya
dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau
berjaya membawa pembangunan melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan
dari kejayaan negara-negara luar sehingga mengangkat Malaysia ke pentas dunia
sebagai salah sebuah negara yang berdaya maju di Asia Tenggara sehingga
pernah dinamakan sebagai salah sebuah negara 'Harimau Ekonomi Asia'.
Usaha beliau yang paling
diingati masyarakat Malaysia dan antarabangsa adalah ketika membawa Malaysia
keluar dari Krisis Kewangan Asia 1997 dimana beliau telah menolak
cadangan dan juga dana bantuan dari IMF yang beliau sifatkan akan memburukkan
lagi krisis. Langkah-langkah radikal yang diambil dikiritik hebat ketika
itu oleh banyak pihak termasuk IMF sendiri. Malah, usaha tersebut turut dikecam
walaupun lama selepas kemelut berakhir dimana beliau menyatakan kecaman
dan pujian adalah norma ahli politik dan terserah kepada penilaian mana-mana
pihak.
Beliau merupakan seorang tokoh politik yang bersifat vokal
berhubung isu-isu antarabangsa sehingga ada yang mencetuskan kontroversi.
Beliau menyokong "Sistem Ekonomi Pasaran" terkawal sebagai
alternatif kepada "Sistem Ekonomi Persendirian" dan secara
amnya menolak "Pasaran Bebas" (laissez-faire).
Gaya pemerintahan Dr. Mahathir
juga sering kali dikritik dengan dilabelkan sebagai autokratik oleh
pelbagai pihak termasuk badan dan media antarabangsa (contohnya, tajuk artikel
tentang persaraan beliau oleh The New York Times menyimpulkan sifat
autokratik beliau sepanjang karier politiknya) terutama berhubunng Akta
Keselamatan Dalam Negeri yang beliau terangkan sebagai tindakan pencegahan
yang hanya diambil atas desakan semasa (penjelasan beliau diterima dan ditolak
pembaca dengan pelbagai hujah). Selain itu, beliau tidak dapat lari dari
tuduhan kronisme seperti pemimpin-pemimpin lain di dunia.
Antara projek-projek berprofil
tinggi (juga digelar 'projek mega') yang dibangunkan pada zaman pentadbirannya
termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar
Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat
Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.
Bersara pada Oktober 2003, Dr
Mahathir dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku
Negara yang membawa gelaran Tun. Beliau turut dinobatkan sebagai
"Bapa Pemodenan Malaysia" kerana berjaya membangunkan Malaysia
menjadi sebuah Negara industri baru yang disegani di kalangan negara-negara
membangun. Tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri menjadikan beliau sebagai
pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara
selepas Presiden Suharto dari Indonesia.
No comments:
Post a Comment